Kertas pertuduhan menyatakan kejadian liwat berlaku antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008. Tetapi laporan polis menyebut kejadian liwat itu didakwa berlaku pada kira-kira jam 6 petang.
Hafiz Yatim
Mohd Saiful Bukhary Azlan memulakan keterangannya dalam perbicaraan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, dengan menceritakan tentang dakwaan ajakan seks oleh ketua pembangkang itu.
Mohd Saiful adalah pengadu dalam kes tersebut dan merupakan saksi pertama pihak pendakwaraya.
Anwar dituduh melakukan kesalahan tersebut di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.
Dalam kenyataan pembukaannya, Peguamcara Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin berkata pihak pendakwaraya akan membuktikan bahawa kesan air mani Anwar ditemui dalam dubur Mohd Saiful.