AMK Permatang Pauh

Kalau takut dilanggar kereta.. jangan berumah ditepi jalan!!!

Fuziah: Latih 500 calon potensi antara formula PKR hadapi PRU-13

Posted by amkpermatangpauh on January 27, 2010

Oleh G. Manimaran dan Syed Jaymal Zahiid

PETALING JAYA, Jan 27 — Pengarah pilihan raya baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh yakin mempunyai pendekatan ‘ajaib’ untuk menepis tanggapan kebanyakan pihak bahawa parti itu tidak mungkin dapat mengulangi prestasi Mac 2008.

Sambil mengakui beliau menyedari wujudnya cakap-cakap sedemikian, termasuk sokongan orang Melayu kepada Pakatan Rakyat (PR) sudah mula merosot, Fuziah berkata isu-isu nasional semasa seperti kalimah penggunaan “Allah” hanya akan memberi kesan kecil ke atas paten sokongan.

Pada akhirnya semasa hari pengundian, kata beliau, pengundi akan membuat keputusan berdasarkan isu-isu dan faktor-faktor tempatan, bukannya dipengaruhi sangat oleh isu nasional.

Mengikut Fuziah Salleh pada akhirnya semasa hari pengundian pengundi akan membuat keputusan berdasarkan isu-isu dan faktor-faktor tempatan, bukannya dipengaruhi sangat oleh isu nasional.

“Berdasarkan pengalaman saya, pengundi tidak akan memberi tumpuan kepada isu-isu seperti ini (isu nasional) semata-mata.

“Kemungkinan sebahagian kecil (bergantung pada isu nasional) tetapi pada akhirnya isu tempatan yang lebih penting dan memberi kesan ke atas kehidupan mereka secara langsung (kira-kira 40 peratus),” kata beliau dalam temu bual dengan The Malaysian Insider.

Oleh itu kata Ahli Parlimen Kuantan ini, fokus beliau selaku pengarah pilihan raya PKR yang baru ialah ke atas Sarawak yang akan mengadakan pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Kata Fuziah, pada masa yang sama beliau perlu menggerakkan usaha rapi bagi menjayakan sasaran PR menuju Putrajaya.

“Ini amanah besar, satu tanggungjawab berat… fokus saya ialah mempertahankan prestasi semasa dan memperbaiki pencapaian dengan matlamat kami hendak menuju ke Putrajaya selepas memerintah empat negeri,” katanya.

PKR bertanding dalam pilihan raya umum kali pertama pada 1999. Bagaimanapun ia gagal mempamerkan prestasi yang sama pada tahun 2004.

Ia kembali kukuh dalam pilihan raya umum lalu. Mengambil kira corak pengundian dan sokongan ketika Mac 2008 dan usaha-usaha diambil oleh Umno-BN, ramai beranggapan bahawa PKR dan dua komponen yang lain dalam PR tidak mampu mengulangi prestasi 2008.

Ini termasuk pandangan salah seorang wakil rakyat yang keluar PR awal tahun lalu, yang menjangkakan PAS dan PKR tidak mampu untuk mengekalkan kerusi yang mereka menang Mac 2008.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan menjangkakan jika Umno-BN “bekerja kuat”, kedua-dua komponen PR itu hanya boleh mempertahankan kira-kira 50 peratus kerusi dikuasai ketika pilihan raya umum ke-12.

Jangkaan itu dikongsi oleh Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, yang keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat Bebas, sekali gus membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri pimpinan PR awal Februari 2009.

Justeru kata Jamaluddin, beliau menjangkakan DAP boleh mengekalkan 18 kerusi yang dimenangi mereka.

Jamaluddin, bekas timbalan pengerusi PKR Perak dan Tanjung Malim membuat perkiraan jika Umno dapat mengekalkan kesemua 34 kerusi yang ditandinginya bermakna PKR hanya boleh berkongsi baki tujuh kawasan yang ada dengan PAS.

Minggu lalu, Nizar mengakui sokongan orang Melayu terhadap DAP, PAS dan PKR di Perak telah merosot terutama di kawasan pedalaman.

Mengulas lanjut, Fuziah yang pernah memikul tanggungjawab sebagai timbalan pengarah pilihan raya PKR berkata “perkhidmatan kreatif” akan menjadi kunci utama pihaknya menghadapi BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga mengakui parti itu berada di belakang BN dari segi kedudukan kewangan tetapi percaya paten pengundian telah berubah dan kini ia berdasarkan keupayaan parti yang memintah untuk menyampaikan perkhidmatan.

“Ya, kami mengakui bahawa ada kekangan kewangan dan tidak boleh berlawan dengan BN dalam aspek ini tetapi ada pendekatan kreatif untuk melalui halangan-halangan ini,” kata beliau.

“Anda boleh berikan pengundi, katakan ikan, tetapi berapa kali yang anda boleh berikan mereka ikan? Apa yang kami lakukan ialah memberi pengundi hak mereka dengan menyediakan perkhidmatan yang berkesan untuk mereka,” kata ibu kepada enam anak ini.

Kata Fuziah, pihaknya juga akan memperkenalkan sistem pemilihan calon yang baru dalam pilihan raya umum akan datang seiring dengan hasrat penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memperbaiki dan menyediakan pengundi dengan pemimpin-pemimpin berkualiti.

PKR merancang untuk melatih 500 bakal calon menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Fuziah lagi.

Dalam temu bual ini Fuziah juga mengakui PKR pernah berhadapan dengan masalah wakil-wakil rakyat yang mencetuskan situasi kurang senang.

Ia membawa kepada tindakan beberapa wakil rakyat menghadapi masalah rasuah dan ada yang keluar parti atau berhenti iaitu dua di Perak dan Kedah dan masing-masing satu di Selangor dan Pulau Pinang.

Oleh itu kata beliau, PKR akan menggunakan model penapisan pemilihan calon untuk memilih calon-calon yang benar-benar berkualiti.

Berlatarbelakangkan pengalaman sebagai pakar kaunseling, Fuziah yang dikenali kerana kemahiran motivasi dalam mengendalikan latihan kepimpinan di PKR menambah, beliau secara peribadi akan menyediakan calon-calon berpotensi untuk mengadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, latihan itu akan berdasarkan lima tunjang iaitu kualiti personaliti, kepimpinan, komunikasi, politik dan kemahiran tambahan.

“Saya yakin bahawa pendekatan ini akan menjadi satu kelebihan kepada kami,” katanya.

Ahli Parlimen Kuantan ini juga berhasrat untuk memperkenalkan panduan pilihan raya yang komprehensif, yang akan menyeragamkan strategi pilihan raya parti pada masa depan.

“Manual ini juga adalah berdasarkan amalan terbaik modul kempen pemilihan di negara-negara lain, yang pernah digunakan oleh mereka seperti Obama (Presiden Amerika Syarikat) yang berupaya menuju kemenangan dengan wang yang sedikit,” kata bekas pengarah latihan parti.

Fuziah mengambil alih jawatan pengarah pilihan raya daripada Saifudin Nasution Ismail yang menggantikan Datuk Salehuddin Hashim sebagai setiausaha agung yang baru.

Pelantikan beliau yang akan berkuat kuasa 1 Feb ini dilihat sebagai sangat kritikal ketika anggota PR berhadapan dengan serangan bertubi-tubi BN.

The Malaysian Insider

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: