Tuntutan qazaf : Pendakwa diarah kemuka bantahan sebelum 17 Feb
Posted by amkpermatangpauh on January 13, 2010
KUALA LUMPUR, Jan 13 – Mahkamah Tinggi Syariah mengarahkan pendakwa raya mengemukakan jawapan balas sebelum 17 Feb ini berhubung permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pihak pendakwaan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar, 63, memfailkan notis permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Rabu lalu melalui peguamnya yang diketuai Kamar Ainiah Kamaruzaman.
Dalam tuntutan notis permohonan itu, Anwar menamakan tiga responden iaitu Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.
Dalam notis permohonan itu, Anwar memohon perintah mahkamah supaya mengarahkan Shamsuddin menggunakan kuasa yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari dan menghalang Che Mat serta Jamil daripada menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu.
Anwar juga mendakwa laporan qazaf berhubung pernyataan palsu mengenai beliau meliwat Mohd Saiful Bukhari telah dibuat kepada Bahagian Penguat Kuasa dan Pendakwaan Jawi pada 9 Julai 2008, dan beliau dipanggil untuk memberi keterangan tetapi masih tiada maklum balas daripada Jawi.
Mahkamah menetapkan hari ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu jawapan balas dalam tempoh 14 hari daripada pihak pendakwaan.
Bernama
Leave a Reply