AMK Permatang Pauh

Kalau takut dilanggar kereta.. jangan berumah ditepi jalan!!!

Saifuddin: Saya hanya ‘askar setia’ PKR, fokus 3 aspek

Posted by amkpermatangpauh on January 11, 2010

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Jan 10 — Saifuddin Nasution Ismail, yang dilantik sebagai setiausaha agung yang baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggariskan tiga keutamaan beliau apabila mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Salehuddin Hashim mulai 1 Feb ini.

Dalam reaksi awal kepada The Malaysian Insider, Saifuddin Nasution yang menganggap pelantikan ini sebagai sesuatu yang memang mengejutkan beliau, menyifatkan keputusan terbaru pucuk kepimpinan sebagai “satu kesinambungan tugasan” daripada Salehuddin yang secara rasmi akan berundur 31 Jan.

“Yang pertama ini (pelantikan) adalah satu penerusan tugas yang telah diletakkan asas yang baik oleh setiausaha agung semasa (Salehuddin),” kata beliau ketika dihubungi tengah hari tadi.

“Saya akan menggunakan pengalaman lebih dua dekad dalam pengurusan parti politik untuk mencapai matlamat keperluan penerusan tugas,” kata beliau.

Ketika ditanya faktor yang membawa kepada pelantikan terbaru ini, Saifuddin berkata:

“Saya tidak boleh menjawab soalan ini… tetapi saya merupakan ‘askar’ yang sentiasa setia dan patuh kepada arahan kepimpinan, melakukan apa yang diminta lakukan.”

Saifuddin yang merupakan antara pemimpin awal menubuhkan parti itu, kini menyandang jawatan pengarah pilihan raya PKR dan Ahli Parlimen Machang.

Sehingga pertengahan tahun lalu Saifuddin memegang jawatan pengarah strategi PKR.

Untuk sementara waktu beliau dijangka akan memegang kedua-dua jawatan itu.

Kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas memperoleh komen Saifuddin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata memandangkan masa peralihan yang pendek dan tugas-tugas penting perlu dijalankan segera beliau telah melantik pengarah pilihan raya PKR itu sebagai setiausaha agung baru.

“Sebagai setiausaha agung baru dan pelantikan beliau telah diterima Majlis Pimpinan Pusat semalam,” kata Wan Azizah.

Wan Azizah mengumumkan pelantikan Saifuddin pada mesyuarat Biro Politik semalam dan kemudian disahkan oleh Majlis Pimpinan Pusat.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang diadakan semalam menerima keputusan Salehuddin melepaskan jawatan setiausaha agung.

“Dengan berat hati, kami menghormati keputusan beliau (Salehuddin) dan menerima perletakan jawatannya mulai 31 Jan.

“Bagi pihak parti, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Salehuddin atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai setiausaha agung sejak April 2008 dan juga sebagai setiausaha pengelola dari tahun 2004 hingga 2008.

Ketika pelantikannya diumumkan pada mesyuarat Biro Politik semalam, Saifuddin secara kebetulan membentangkan kertas kerja berkenaan dengan program PKR sepanjang tahun ini untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Mengenai keutamaan kedua, Saifuddin berkata, beliau akan berusaha keras untuk memperkemas dan memperkuatkan PKR sebagai komponen gabungan Pakatan Rakyat.

“Keutamaan ketiga ialah mempersiapkan PKR menjelang pilihan raya umum akan datang… mengutamakan agenda pilihan raya.

“Tugasan baru ini berkaitan dengan usaha membina jentera pilihan raya yang mantap menjelang pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: