Salehuddin nafi keluar PKR, hanya lepas jawatan setiausaha agung
Posted by amkpermatangpauh on January 8, 2010
Oleh G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Jan 8 — Datuk Salehuddin Hashim mengulangi yang beliau tidak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya hanya meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung.
Biro Politik PKR akan membincangkan sama ada menerima atau tidak menerima keputusan Salehuddin esok.
Kata Salehuddin, keputusan beliau melepaskan jawatan itu berkuat kuasa hujung bulan ini.
“Saya hanya melepaskan jawatan setiausaha agung, saya bukan meninggalkan parti,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider di sini hari ini.
Salehuddin yang merupakan setiausaha agung PKR sejak April 2008 berkata beliau bersedia untuk membantu parti itu jika khidmatnya diperlukan.
Beliau menghantar surat letak jawatan pukul 5 petang semalam.
Malah kata beliau keputusannya untuk meletakkan jawatan adalah muktamad.
“Nak terima, tak terima apa lagi? Saya sudah hantar surat, sudah dilaporkan media,” kata beliau mengulas kemungkinan Biro Politik akan membincangkannya esok.
Dalam surat letak jawatan beliau Salehuddin berkata jika tiada apa-apa urusan, antaranya penyerahan tugas, beliau mahu tinggalkan jawatan setiausaha agung lebih awal.
Konsultan berusia 58 tahun ini kelihatan kecewa apabila melihat tajuk akhbar bahasa Inggeris hari ini bahawa beliau memutuskan untuk meninggalkan PKR.
Malah Salehuddin kelihatan lebih kecewa apabila membaca petikan disebabkan kekecewaan dan perasaan tidak puas hati beliau menyertai PKR pada tahun 2004.
“Saya tidak kata begitu,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali berkata beliau telah menerima melalui emel salinan notis peletakan jawatan sebagai setiausaha agung daripada Salehuddin.
“Notis itu dihantar kepada Presiden Dr Wan Azizah Ismail, dan Ketua Umum Saudara Anwar Ibrahim.
“Saya percaya mereka juga sudah menerima notis itu,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Husin menambah, mengikut Salehuddin notis berkuat kuasa mulai 31 Jan ini.
“Beliau tidak memberikan apa-apa alasan meletak jawatan. Kebetulannya esok Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat mengadakan mesyuarat biasanya.
“Biro Politik akan membincangkan notis tersebut dan mengambil keputusan sama ada hendak menerima atau tidak perletakan jawatan itu,” katanya.
The Malaysian Insider
Leave a Reply