Harga petrol, diesel diramal naik lagi
Posted by amkpermatangpauh on January 6, 2010
Harga petrol dan diesel diramalkan akan naik sekali lagi, sekaligus menambah beban rakyat yang terpaksa menanggung kenaikan harga gula dan roti pada tahun baru 2010.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, harga minyak sekarang tidak akan dapat dipertahankan berikutan jaminan Peteronas untuk tetap membayar RM30 bilion sebagai dividen kepada kerajaan, meskipun keuntungannya merosot.
Azan berkata jaminan yang diberi oleh Pengerusi Petronas Hassan Merican akan memberi tekanan ke atas pendapatan pengeluar minyak nasional itu.
“Kita bimbang Petronas berpendirian begitu, kerana apabila harga minyak jatuh atau naik di pasaran dunia ia akan memberi kesan kepada rakyat. Mereka naikkan harga di pam dan rakyat perlu bayar lebih semata-mata untuk memenuhi jaminan yang diberi Petronas kepada kerajaan,” katanya.
Hassan membayangkan Petronas tidak ada pilihan selain memberi komitmen kewangan itu kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) mengalami defisit belanjawan terbesar dalam tempoh 20 tahun. Wang Petronas pula diguna untuk membiayai hampir separuh dari
perbelanjaan kerajaan.
Azan menyoal keperluan BN menggubal belanjawan yang begitu terikat kepada perolehan hasil gas dan petroleum walaupun Malaysia mempunyai pelbagai sumber ekonomi berbanding negara lain.
Menurut beliau, kerajaan seharusnya pro-aktif mempelbagaikan sumber pendapatan negara kerana rizab petroleum Malaysia semakin menipis.
Beliau juga mengingatkan bahawa wang Petronas sepatutnya diguna untuk membangunkan modal insan, memajukan prasarana bandar, pendidikan dan keselamatan, dan bukannya mengisi kocek pimpinan politik dan konco-konco mereka menerusi projek-projek mega.
“Dalam keadaan krisis, Petronas sepatutnya tidak lagi hanya bertanggungjawab kepada Perdana Menteri sebaliknya ia perlu mengikuti jejak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) yang lain melapor kepada Parlimen. Yang berlaku sekarang ialah seolah-olah Petronas ini milik Perdana Menteri,” kata Azan.
Katanya, jika keadaan ini beterusan tidak mustahil Malaysia akan menghadapi nasib yang sama dengan negara Chile dan Mexico yang muflis kerana bebanan hutang.
freemalaysiatoday
Leave a Reply