AMK Permatang Pauh

Kalau takut dilanggar kereta.. jangan berumah ditepi jalan!!!

KENYATAAN MEDIA : Isu penggunaan kalimah Allah

Posted by amkpermatangpauh on January 3, 2010

KENYATAAN MEDIA

PENGGUNAAN KALIMAH “ALLAH”

Merujuk kepada rentetan pelbagai kontroversi berterusan yang masih wujud berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh pelbagai agama selain dari agama Islam di negara kita Malaysia sekarang ini, maka BIPPA PKR sukacita menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang sangat positif dan perlu diterima secara terbuka dan berlapang dada. Umat Islam di Malaysia tidak perlu menjadi gelisah dan “over react” dengan pelbagai andaian dan kemungkinan dengan fenomena yang dikata baharu ini. Sesungguhnya, kami melihat bahawa fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani sejak dari azali lagi bahawa kesemua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmanya yang bermaksud:

“Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah…” (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahwa penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah berlaku sejak dari dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama samawi. Sebahagian dari kitab suci mereka memang menggunakan kalimah Allah (terutama di Timur Tengah). Di dalam kehidupan harian mereka hari ini, penggunaan Bismillah, Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya bukanlah suatu yang pelik dan janggal. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja memang telah lama menjadi kebiasaan. Begitu juga bagi bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Adalah jelas bahawa menggunakan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua – Rabbul `aalamiin atau Lord of the Universe?

Maka itu, kami melihat fenomena ini adalah bertepatan dan serasi dengan wadah dan perjuangan KeADILan selama ini. Malahan, perjuangan untuk menegak yang makruf dan mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah dan selesa sepertimana firman Allah:
“Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)” (Surah Ali `Imran(3):64).

Sekian. Terima kasih.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.

Advertisements

3 Responses to “KENYATAAN MEDIA : Isu penggunaan kalimah Allah”

  1. anak sarawak said

    Saya amat bersetuju dengan penjelasan dari Dr.. Sesetengan pihak cuba meneguk di air yg keruh untuk kepentingan politik semata2. Kenyataan dari Dr. ini jelas menunjukkan masih ada golongan yang lebih celik dan berpandangan terbuka berbanding dengan mereka yang melaung2kan perpaduan 1Malaysia. Syabas Dr.

  2. hamba allah.. said

    1. Asal usul kalimah Allah

    Mengikut kaedah tatabahasa Bahasa Arab, perkataan Allah berasal dari allaha-yauallihu-ilahatan-ilahiyyatan (أله – يؤله – إلهة – إلهية) yang membawa maksud ‘abbada-‘ibadatan (عبادة – عبد( iaitu menyembah-penyembahan. Dari sinilah lahirnya kalimah ilah (إله) yang bermaksud ma’luh (مألوه), seerti dengan ma’bud (معبود) yang bermaksud yang disembah. Pecahan kalimah Allah seperti yang disebutkan di atas merupakan pendapat yang paling tepat di kalangan para ulama’ yang juga mengatakan ia berasal dari kalimah al-ilah (الإله). Kemudian, kalimah hamzah qatha’ dibuang dan diidghamkan lam yang pertama ke dalam lam yang seterusnya dan dibaca dengan tasydid. Antara yang menyebutkan demikian adalah Sibawaih dan majoriti para sahabat.

    Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa kalimah Allah itu membawa maksud Dia (Allah) adalah sebagai yang dipertuhankan dan yang disembah. Dipertuhankan oleh semua makhluk dengan penuh kecintaan, pengagungan, ketundukan dan berlindung kepada-Nya dalam semua hajat dan musibah yang menimpa.

    2. Bukti penggunaan kalimah pada zaman dahulu.

    Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran dalam Surah Luqman ayat 25 :

    25. dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah Yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

    Firman Allah S.W.T. lagi dalam Surah Al-Mukminun ayat 86-87 :

    86. Tanyakanlah lagi: “Siapakah Tuhan Yang memiliki dan mentadbirkan langit Yang tujuh, dan Tuhan Yang mempunyai Arasy Yang besar?”
    87. mereka akan menjawab: “(Semuanya) kepunyaan Allah”. katakanlah: “Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?”

    Berdasarkan kepada dua ayat Al-Quran ini menunjukkan bahawa lafaz Allah digunakan oleh orang-orang musyrik ketika ditanyakan kepada mereka tentang pencipta alam semesta. Namun, para ulama’ dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa jawapan yang diberikan oleh mereka sepertimana disebut dalam ayat di atas hanyalah sebagai iddi’a/idhtirar (dakwaan semata-mata/kerana terpaksa) bukannya lahir dari hati yang mengatakan bahawa Allah merupakan pencipta alam semesta.

    Hal ini kerana disebabkan mereka tidak mampu untuk membuktikan bahawa tuhan-tuhan yang disembah mereka berkuasa untuk menciptakan sesuatu apatah lagi langit dan bumi bahkan mereka sendirilah yang mengukir dan membuat tuhan mereka.

    Manakala, menurut penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil yang asli (sebelum diubahsuai oleh manusia) dalam bahasa Hebrew ia tidak mendatangkan penggunaan kalimah Allah sedikitpun. Namun, perkataan Allah disebut sebagai ‘Elohim’ dalam bahasa berkenaan yang merupakan pecahan kepada ‘Elo’ (Allah) dan ‘Him’(kata jama’ bagi menunjukkan penghormatan kepada sesuatu).

    Samalah juga penggunaan ‘God’ dalam ajaran Kristian membawa maksud Tuhan Bapa (Allah) dan Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan kerana Allah tidak bersifat dengan apa yang menyerupai makhluk. Mereka berpegang kepada konsep Trinity(tiga tuhan yang hakikatnya adalah satu) yang pegangannya berbeza dengan umat Islam yang beriman kepada Allah Yang Maha Esa. Di sini, jelas kepada kita bahawa Allah di sisi Kristian zaman kini adalah 100% berbeza dengan apa yang diimani oleh umat Islam seluruhnya.

    3. Bentuk penggunaan kalimah Allah

    Secara ringkasnya, penggunaan kalimah Allah boleh dibahagikan kepada dua iaitu :
    • Lisan.
    • Tulisan.

    a) Penggunaan secara lisan

    Setelah diteliti dan dikaji, maka penggunaan perkataan Allah oleh non-muslim telah sabit di dalam Al-Quran, Hadith dan sirah Nabi Muhammad S.A.W. Namun beberapa perkara perlu diingat dalam menjelaskan penggunaan ini :

    • Penggunaan tersebut tidak dinafikan berdasarkan apa yang telah disebutkan di dalam Al-Quran, Hadith dan sirah.
    • Walau bagaimanapun, penggunaan ini adalah melihat kepada tujuan mereka menyebutkan perkataan Allah bukan datang disebabkan mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah tetapi hanya semata-mata dakwaan atau kerana terpaksa.
    • Penggunaan secara lisan sedikit sebanyak mendatangkan mudarat namun ia tidak seberat penggunaan pada tulisan.

    b) Penggunaan secara tulisan

    Melihat kepada implikasi yang cukup besar di sebalik penggunaan secara bertulis, para ulama’ tidak membenarkannya bersandarkan kepada beberapa sebab :
    • Ia boleh mendedahkan nama Allah kepada penghinaan apabila disifatkan dengan pelbagai perkara yang menyalahi secara terang-terangan akidah muslim dan tidak dijaga dengan baik. Ulamak mazhab Syafei menyatakan haram kepada seorang muslim menulis nama Allah dalam fatwa kepada ahli zimmah kerana ia boleh menghina nama Allah SWT.

    قَوْلُهُ : ( مِنْ الْإِهَانَةِ ) يُؤْخَذُ مِنْهُ – لِمَا فِي مِلْكِ الْكَافِرِ لِلْمُصْحَفِ وَنَحْوِهِ مِنْ الْإِهَانَة – بِالْأَوْلَى أَنَّهُ يَحْرُمُ عَلَى الْمُسْلِمِ إذَا اسْتَفْتَاهُ ذِمِّيٌّ أَنْ يَكْتُبَ لَهُ فِي السُّؤَالِ وَالْجَوَابِ لَفْظَ الْجَلَالَةِ ، فَتَنَبَّهْ لَهُ فَإِنَّهُ يَقَعُ كَثِيرًا الْخَطَأُ فِيه )حاشية البجيرمى على الخطيب 3/314، حاشية الشبراملسى على نهاية المحتاج)

    • Menutup jalan yang boleh menyebabkan mudharat dan bahaya besar kepada umum walaupun ada maslahat pihak tertentu dan hukum asalnya harus. Menolak mudharat umum lebih utama dalam kes ini sebagaimana ditegaskan oleh Imam Syatibi dan imam Ghazali.

    وإن أمكن انجبار الإضرار ورفعه جملة؛ فاعتبار الضرر العام أولى؛ فيمنع الجالب أو الدافع مما هم به؛ لأن المصالح العامة مقدمة على المصالح الخاصة بدليل النهي عن تلقي السلع……
    ونحن إنما نجوز ذلك- قتل مسلم تَتَرَّسَ به الْكُفَّار- عند القطع أو ظن قريب من القطع والظن القريب من القطع إذا صار كليا وعظم الخطر فيه فتحتقر الأشخاص الجزئية بالإضافة إليه
    )وانظر:الموافقات 2/348، و”المستصفى” “1/ 424″، و”الأشباه والنظائر” “1/ 122)

    • Ia mungkin digunakan sebagai nama khas untuk makhluk sedangkan ijmak ulamak tidak mengharuskannya.

    الْأَلْفَاظُ الَّتِي هِيَ مُخْتَصَّةٌ بِاَللَّهِ تَعَالَى نَحْوُ لَفْظِ الْجَلَالَةِ وَلَفْظِ الرَّحْمَنِ فَإِنَّهُ لَا يَجُوزُ اسْتِعْمَالُهُمَا فِي غَيْرِ اللَّهِ أَلْبَتَّةَ إجْمَاعًا ، )مواهب الحليل شرح مختصر خليل )

    • Ia akan menimbulkan kekeliruan di kalangan muslim dalam persoalan akidah apabila disebarkan secara meluas dan amat dibimbangi sekiranya ia disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyampaikan ajaran agama lain dan juga dakyah.

    Keputusan Felo MANHAL PMRAM : Tidak bersetuju secara mutlak penggunaan kalimah Allah oleh non-muslim secara bertulis samada dalam bentuk akhbar, majalah, laman blog dan apa jua medium sebaran maklumat kerana melihat kepada beberapa larangan oleh para ulama’ dan mudarat yang lebih besar. Namun, penggunaan secara lisan oleh mereka dipandukan kepada 3 perkara yang dijelaskan di atas dengan melihat ia bukanlah sebagai pengakuan bahawa Allah hanyalah tuhan yang layak disembah di sisi mereka.

    Akhir sekali, umat Islam pada masa kini perlulah sentiasa peka dan mempunyai sensiviti yang tinggi terhadap perkara yang bersangkutan dengan akidah Islamiyyah. Kita semua wajib mempertahankan segala keraguan yang ditimbulkan musuh-musuh Allah agar agama Islam itu terpelihara dan bebas dari fahaman-fahaman yang menyimpang dari landasan sebenar. Wallahua’lam.

  3. Choi said

    Datuk Seri Najib Tun Razak telah menulis satu perkataan kaligrafi iaitu “he” yang bermaksud harmoni semasa menghadiri makan malam Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia. Tulisan ini senang untuk ditulis tetapi untuk mengekalkan keharmonian negara kita, terutamanya negara kita mempunyai penduduk yang pelbagai jenis kaum dan agama merupakan sesuatu perkara yang memerlukan jangka masa yang panjang. Selepas kejadian rusuhan antara kaum seperti peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, kes cubaan membakar dan lemparan bom petrol terhadap gereja sejak kebelakangan ini telah menjadi noda negara yang menjejaskan kemasyhuran negara. Perkara yang selama ini cuba kita kawal, akhirnya terjadi juga. Bagaimanakah kita dapat meredakan keadaan sentimen, menyenangkan perasaan rakyat, memulihkan status negara serta memastikan kejadian ini tidak akan berlaku?
    Media kini telah menjadi satu bahagian yang penting dalam proses interaksi antara manusia. “In the name of progress, our official culture is striving to force the new media to do the work of the old.” (McLuhan). Kemudahan yang ditawarkan oleh media baru seperti Internet dan telefon bimbit ditengah kesibukan manusia menyebabkan media baru menjadi pilihan yang tepat untuk memperoleh informasi kerana kebanyakan orang mampu mengakses Internet di mana-mana tempat. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pernah berkata media baru telah mencetuskan satu fenomena perubahan baru di seluruh dunia dan membolehkan orang ramai membaca apa sahaja yang ingin dibaca. Media baru mula menggantikan peranan media konvensional seperti surat khabar sebagai alat propaganda bagi pihak media dan penduduk dalam menyebarkan dan membincangkan sesuatu perkara.
    Bagi isu serangan ke atas rumah-rumah ibadah susulan isu penggunaan kalimah Allah, media baru memainkan peranan yang penting dalam penyebaran maklumat kerana Internet memberi peluang kepada kita untuk melihat sesuatu perkara dari pandangan orang lain dan berkongsi identiti. Hal ini telah menjadikan Internet sebagai satu jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan pemimpin negara. Pada 8 Januari, Gereja Metro Tabernacre A/G Catholic di Taman Melawati, Gereja Assumption Assunta di Petaling Jaya dan Gereja Chappel di Damansara telah dilempar bom petrol, lantas menyebabkan berlakunya kebakaran. Penyerangan ketiga-tiga tempat ibadah ini telah menjadi isu pembicaraan yang hangat dalam laman web.
    Bekas pemimpin kita, Dr. Asri Zainul Abidin yang merupakan bekas Mufti Perlis, turut melibatkan diri dalam laman web Facebook dengan membincangkan isu serangan ke atas gereja dalam laman Facebook beliau dan mendapat sebanyak 95 respons daripada pengguna Facebook. Menurut beliau, tindakan merosakkan atau memusnahkan tempat ibadah agama tanpa alasan yang benar adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang murni. Kejadian ini mungkin berkaitan dengan isu kalimah Allah yang hangat dibincangkan sekarang. Beliau percaya penyerangan dilakukan oleh (1) golongan pihak yang fanatik dalam kalangan orang Islam yang tidak memahami disiplin Islam berhubung dengan tempat-tempat ibadah agama lain, (2) pihak yang fanatik dalam kalangan orang Kristian yang cuba menimbulkan provokasi, atau (3) pihak yang cuba mengambil kesempatan politik dari ketegangan agama di negara ini dengan tujuan-tujuan tertentu.
    Dalam ruangan respons, terdapat sebahagian orang bersetuju dengan pandangan Dr. Asri. Salah satu pengguna Facebook, Zaimie Congka berpendapat ada dalang yang sengaja memperbesarkan isu ni supaya suasana negara menjadi tidak aman dan kestabilan politik negara tergugat lantas menyebabkan kemerosotan ekonomi negara. Pengguna Facebook Kar Kheng memberi respons bahawa hal ini bukan sahaja berkait dengan apa yang kita percaya tetapi ia adalah tentang sikap seseorang sebagai manusia. Jika penduduk negara bersikap bertoleransi dan tidak mementingkan diri sendiri, penyerangan gereja tidak akan berlaku.
    Laman web telah membekalkan satu tempat bagi pemimpin dan penduduk untuk mengemukakan pandangan sendiri dan meluahkan idea sendiri. Pertukaran pandangan antara pemimpin dengan penduduk adalah lebih berkesan jika dibandingkan dengan media konvensional seperti surat khabar kerana pemimpin dan penduduk dapat memaparkan idea sendiri dalam laman web pada bila-bila masa.
    Internet membekalkan semua maklumat yang kita inginkan. “ The Internet represents the newest, most widely discussed, and perhaps most sighnificant manifestation of new media. The Internet constitutes the electronic network of networks that link people and information through other digital media technologies, and allow both interpersonal communication and information retrieval”. Oleh itu, kita dapat mengedarkan maklumat melalui Internet dengan cepat ke seluruh dunia tanpa sempadan.
    Internet sebenarnya membekalkan banyak maklumat kepada kita. Malangnya, sebahagian penduduk telah menyalahgunakan Internet dalam penyebaran maklumat yang melanggar undang-undang dalam isu penyerangan tempat ibadah. Ayat “ Ke nak aku baling bom petrol di sana plak?… harga boleh runding…” dalam Facebook telah mengheret seorang pelajar Akedemi Seni Budaya dan Warisan, Mohamad Tasyrif, 25, ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana dituduh menggunakan aplikasi dalam Internet dengan membuat komen yang mengancam dan mengganggu orang lain. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, tindakan bagi kes yang membabitkan komen-komen di laman berita seperti Malaysiakini tidak dapat dilakukan dengan segera. Pihak tertentu tidak dapat mengesan siapa yang bertanggungjawab kerana golongan ini akan menggunakan nama palsu serta tidak dapat mengesan Protokol Internet (IP) iaitu persetujuan yang digunakan kerana ia dimuat oleh laman berita, bukan pemberi komen.
    Mengapakah penduduk menyebarkan maklumat kritikan dalam laman web, bukannya media konvensional? Walaubagaimanapun surat khabar mengandungi kolum bagi orang ramai menyatakan idea tetapi kandungannya terhad menyebabkan orang ramai memaparkan pandangan dan kritikan sendiri dalam laman web. Apabila saya melayari laman web, banyak kritikan telah dipaparkan oleh pengguna internet kerana mereka mampu memberi komen dengan lebih terbuka. Internet juga membenarkan penduduk di seluruh dunia berkomunikai tanpa sempadan serta mudah diakses oleh orang ramai jika berbanding dengan media cetak yang boleh disampai ke kawasan tertentu sahaja.
    Selain itu, telefon bimbit juga disalahgunakan dalam penyebaran maklumat isu penyerangan tempat ibadah kerana individu telah menyalahgunakan telefon bimbit untuk menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu dan khabar angin. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyatakan beliau telah menerima SMS berbunyi: “ Tolong jangan simpan tasbih dan artikel keagamaan (Kristian) dalam kereta anda…mereka memecahkan kereta…bermula di Bangsar, bantahan masih berjalan dan bergerak ke Shah Alam.” Penyebaran maklumat yang palsu akan mencetuskan kebimbangan penduduk kerana mereka mungkin percaya keadaan ini akan mengeruhkan keadaan negara.
    Pihak media perlu memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat tidak akan menimbulkan ketidakpuasan hati pembaca. Walaupun media di negara kita seperti surat khabar diberi kebebasan bersuara, media ditegah untuk menyampaikan perkara yang mengandungi berita dan pandangan yang sensitif. Tambahan pula, Parlimen telah menetapkan undang-undang untuk melarang penerbitan sebarang berita yang sensitif seperti mempersoalkan perkara agama dan isu perkauman untuk menjamin keselamatan negara.
    Akhbar Herald-The Catholic Weekly yang menggunakan kalimah Allah telah menimbulkan reaksi yang besar daripada masyarakat. Penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Katolik dikatakan telah menyebabkan sebahagian penduduk mengambil kesempatan merosakkan gereja sebagai bantahan selepas Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah. Sebagai media awam, surat khabar harus menyedari peranannya dalam memastikan sebarang isi kandungan akhbar tidak akan menimbulkan kesan terhadap semua pihak.
    Selepas kejadian penyerangan tempat ibadah, banyak pandangan daripada pemimpin negara sentiasa dipaparkan dalam surat khabar. Pihak kerajaan, tokoh Kristian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya turut menyuarakan idea dan nasihat sendiri kepada masyarakat. Pergerakan Pemuda UMNO menyeru semua pihak bersatu mengutuk kejadian serangan dan cubaan membakar gereja. Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata: “ kejadian itu tidak spatutnya berlaku ke atas mana-mana rumah ibadat di negara kita.” Selain itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong menggesa rakyat agar bersabar supaya isu sensitif tidak akan terus disemarakkan. Beliau juga menyeru semua parti politik negara bekerjasama untuk menenangkan orang ramai dan mengembalikan keamanan negara ini. Seruan daripada pemimpin negara difikirkan agak penting kerana seruan akan menyenangkan penduduk kerana pemimpin negara adalah orang yang berkemampuan untuk mempengaruhi pemikiran penduduk.
    Pada pendapat saya, pihak berkuasa hanya memberi seruan dan pandangan yang sama iaitu memujuk orang ramai supaya bertenang kerana keadaan tidak begitu mendesak sehingga mengancam keselamatan negara. Soalan saya ialah adakah seruan dan pandangan ini boleh menghalang kejadian ini tidak berlaku lagi? Saya tidak menafikan bahawa seruan mungkin akan menyenangkan segolongan penduduk mempercayai keadaan masih di bawah kawalan tetapi hal ini tidak akan menyenangkan golongan yang melakukan kesalahan.
    Media baru dan media konvensional dapat meningkatkan kesedaran penduduk mengenai isu perkauman negara. Semasa kejadian berlaku, pihak media menjadikan isu penyerangan sebagai agenda kerana penduduk dapat mengetahui perkembangan kejadian penyerangan tempat ibadah di negara ini. Dalam masyarakat yang berbilang kaum, kita sepatutnya memahami setiap kaum mempunyai sejarah dan kebudayaan masing-masing dan bersedia menerima asal usul mereka. Presiden Majlis Gereja Malaysia, Rev. Dr. Thomas Phillips berkata: “ kalimah Allah telah digunakan oleh orang Kristian di Indonesia mahupun Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak sejak lama, sukar kita menghalang mereka tidak menggunakannya.” Jika penggunaan kalimah Allah oleh golongan Katolik dihalang, hal ini mungkin akan mencetuskan masalah baru. Jadi, penduduk harus bertoleransi dan menerima penggunaan kalimah Allah oleh umat Katolik dengan rela hati supaya negara berada dalam keadaan yang damai.
    Kita tidak dapat menafikan perbuatan itu mungkin didorong oleh kemarahan individu berkenaan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh majalah bukan Islam, tetapi membakar gereja bukan cara yang baik untuk menyelesaikan masalah atau sebagai bantahan. “Dialog antara agama boleh diadakan supaya rakyat berbilang kaum di negara ini lebih memahami kepercayaan agama masing-masing,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom. Dialog antara agama membolehkan wakil-wakil daripada kumpulan agama yang berbeza berbincang dengan lebih teliti mengenai kepercayaan dan masalah agama yang dihadapi. Dengan cara ini, perhubungan antara kaum dapat dieratkan dengan efisien kerana kefahaman pelbagai jenis agama ditingkatkan.
    Saya bersetuju dengan idea ini kerana melalui pendekatan berunding, kita dapat membincangkan sesuatu masalah dengan lebih berkesan sekiranya semua pihak yang terlibat rela dan sanggup memberi pandangan sendiri secara terbuka. Masalah bagi rundingan adalah rakyat dikatakan boleh menyuarakan pendapat sendiri, tetapi kita hanya boleh menyuarakan perkara yang tidak menyentuh perasaan setiap kaum. Kesannya, masalah antara kaum dan perasaan ketidakpuasan tidak diselesaikan, malah keadaan ini tertimbul menjadi semakin serius akhirnya muncul segolongan penduduk kritikal.
    Penyerangan tempat ibadah bukan sahaja menjadi berita di negara kita, tetapi sudah menjadi berita dunia. Kerosakan yang dilakukan oleh kumpulan fanatik tersebut telah menjejaskan nama baik Malaysia dan merosakkan kesucian agama. Pandangan orang asing terhadap negara kita terjejas kerana keadaan negara tidak stabil. Hal ini telah memberi kesan kepada industri pendidikan tinggi. Pusat promosi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di luar negara diminta menjelaskan penyerangan gereja supaya kedatangan pelajar asing melanjutkan pelajaran di sini tidak terjejas. Oleh itu, tindakan yang sewajarnya harus dilakukan secepat mungkin untuk memperbaiki imej negara melalui media terhadap serantau dunia.
    Media memainkan peranan yang penting dalam isu penyerangan tempat ibadah. Media dapat meningkatkan kesedaran penduduk terhadap perkara-perkara yang berlaku dalam negara kerana penduduk dapat memperoleh media baru dan media konvensional dengan mudah. Selain itu, media baru juga merupakan satu jambatan yang menghubungkan pemimpin dengan penduduk untuk membincangkan isu tersebut dalam laman web. Dalam masyarakat kini, pelbagai jenis alat teknologi telah diperkenalkan seperti Internet memudahkan kehidupan kita tetapi manusia telah menyalahgunakan kemudahan ini untuk menyebarkan maklumat yang palsu. Bagi media konvensional, ia telah mengehadkan orang ramai meluahkan pandangan secara bebas.
    Isu penyerangan tempat ibadah telah mewujudkan banyak pandangan dan kritikan. Mari kita fikirkan, adakah isu ini mampu menjadi satu agenda yang besar jika semua rakyat Malaysia menganggap diri mereka adalah bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat? Kejadian peyerangan tempat ibadah telah menunjukkan sebahagian rakyat masih berfikiran tertutup dan belum bersedia untuk menerima antara satu sama lain menyebabkan mereka melakukan kerosakan sebagai bantahan penggunaan kalimah Allah oleh kaum lain.
    Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri mengandungi langkah yang amat bertetapan dengan cita rasa dan demografi rakyat seperti negeri, daerah, kaum, agama dan budaya wajar dihindari bagi menwujudkan satu bangsa Malaysia yang berfikiran terbuka serta ingin memajukan negara secara bersatu. Peyerangan tempat ibadah telah menunjukkan rakyat negara belum menerima konsep ini dengan sepenuhnya. Pendek kata, masalah dan persoalan perkauman masih muncul sejak kemerdekaan sehingga hari ini. Bilakah kita boleh berfikir dan bertindak bersama untuk memajukan dan membangunkan negara di samping mempertahankan negara daripada sebarang ancaman?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: