IPOH – Isu salahguna kuasa dan konspirasi terancang UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang membunuh karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibongkarkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak dalam siri ceramah 40 hari di seluruh negeri termasuk 10 parlimen di Perak.
Ketua AMKnya, Abdul Yunus Jamhari berkata, program di Perak akan bermula 24 Disember di Parlimen Sungai Siput dan berakhir di Parlimen Gerik pada hari yang sama.
Menurutnya, penceramah yang diundang adalah terdiri daripada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Mustaffa Kamil Ayob bersama beberapa pimpinan pemuda Pakatan Rakyat dari Pas dan Sosialis DAP.
“Penceramah peringkat pusat pula adalah Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Fariz Musa, Khairul Anuar dan Amirudin Shari di samping lapan penceramah dari AMK Perak antaranya, Chan Ming Kai, Kesavan dan Chan Lih Kang” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabat PKR di sini, kelmarin.