Bajet Pahang: PKR dakwa MB tak faham undang-undang
Posted by amkpermatangpauh on December 15, 2009
Oleh Zukri Aksah
KUANTAN, Dis 15 — Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman menyifatkan keengganan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob untuk membentangkan semula Bajet 2010 bagi membetulkan kesilapan dengan memanggil sidang khas Dewan Undangan Negeri sebagai pendirian angkuh dan tidak jujur dalam menguruskan negeri.
Fauzi turut bersetuju dengan pandangan-pandangan pemimpin politik lain sebelum ini bahawa kesilapan yang berlaku dalam DUN mestilah dibawa semula ke sidang khas DUN untuk diperbetulkan.
“Kalaupun ini tidak boleh dikatakan bukti sifat angkuh Adnan, yang jelas tindakan beliau menampakkan yang beliau tidak faham undang-undang,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Rabu lalu, Adnan berkata kerajaan negeri ini tidak perlu membentangkan semula Bajet 2010 kerana kesilapan pada bajet yang dibentangkan pada 20 November lepas itu hanyalah pada lampiran ringkasan Penyata Kewangan Negeri Pahang yang dikepilkan.
Beliau berkata lampiran penyata yang dimasukkan dalam Bajet 2010 yang dibentangkannya itu adalah bagi memudahkan anggota Dewan Undangan Negeri membuat rujukan, sedangkan lampiran itu sebenarnya tidak perlu dimasukkan kerana laporan penyata kewangan yang penuh telah disediakan berasingan.
Kesilapan dalam bajet ini hanya satu rentetan siri peristiwa yang menunjukkan kelemahan pentadbiran Pahang di bawah teraju Adnan dan Barisan Nasional (BN).
Fauzi berkata ini semua sudah cukup untuk menjadi bukti yang Adnan sebenarnya tidak punya iltizam untuk menguruskan Pahang dengan baik.
“Beliau bertindak mengikut perasaan beliau sahaja, hanya pendapat beliau yang betul dan beliau juga suka memperlekehkan pendapat orang lain.
“Adnan seorang yang tidak boleh ditegur,” kata Fauzi yang sebelum ini merupakan wakil rakyat BN dari Pahang.
Fauzi menambah Adnan perlu mengambil iktibar dari peristiwa pelantikan Umar al-Khattab sebagai Khalifah kedua.
“Kalau aku memimpin kamu dengan mengikuti jalan Allah maka ikutlah aku… kalau aku memimpin kamu dengan tidak mengikut jalan Allah tegurlah aku,” katanya lagi.
Minggu lalu Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail dari PKR menggesa agar Bajet 2010 Pahang dibawa semula ke Dewan Undangan Negeri untuk diperbetulkan kerana kesalahan tarikh semakan.
Azan memberi amaran kepada Adnan yang dokumen Bajet 2010 Pahang adalah tersendiri, bersifat embargo dan dari kulit ke kulit, termasuk lampiran yang silap itu dikawal oleh Akta Acara Kewangan.
Maka sebarang kesilapan walaupun sedikit akan memberi implikasi undang-undang yang besar, kata Azan.
Leave a Reply