AMK Permatang Pauh

Kalau takut dilanggar kereta.. jangan berumah ditepi jalan!!!

Jeffrey kekal VP PKR, nafi tubuh parti baru

Posted by amkpermatangpauh on December 14, 2009

PETALING JAYA, Dis 13 — Orang kuat PKR Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan (left) kekal sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas keputusannya untuk melepaskan jawatan pusat itu ditolak oleh pucuk kepimpinan.

Pucuk kepimpinan PKR mengambil keputusan itu dalam usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bekerja keras mahu memulihkan ketidakstabilan parti itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Anwar, penasihat PKR, dijangka membuat pengumuman petang ini selepas merasmikan Konvensyen PKR Sarawak.

Sehubungan itu, Jeffrey menolak laporan media sebelum ini bahawa akan menubuhkan parti baru ataupun kembali ke pangkuan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kini diterajui abangnya.

“Mereka menolak surat saya. Keputusan (rasmi) akan diumumkan hari ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi tadi.

“Menubuhkan parti baru tidak kena-mengena dengan saya,” kata beliau lagi.

Difahamkan ketika dihubungi, Jeffrey sedang dalam perjalanan ke Kuching.

Konvensyen PKR Sabah akan diadakan Ahad depan dan pengumuman hari ini dilihat sebagai usaha pemulihan hubungan politik PKR Sabah.

Jeffrey bersama Timbalan Ketua Wanita PKR Sabah Christina Liew telah mengumumkan bersama keputusan mereka untuk melepaskan jawatan peringkat pusat serentak.

Christina tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau. Ketika ditanya mengenai pendiriannya, Jeffrey berkata beliau gembira kerana kebanyakan permintaan beliau diterima pucuk kepimpinan parti.

“Banyak permintaan saya telah dipenuhi,” kata beliau sambil menambah komen lanjut akan diberikan kemudian.

Mengenai langkah susulannya, beliau hanya berkata: “Tunggu hingga pengumuman dulu… saya akan katakan kemudian.”

Pada akhir Oktober lalu, Jeffrey meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan anggota majlis tertinggi dan biro politik, yang memberi satu tamparan hebat kepada usaha PKR untuk mengukuhkan kedudukannya di Sabah.

Bagaimanapun beliau kekal sebagai anggota biasa parti itu.

Isu itu bermula apabila majoriti ketua bahagian termasuk Jeffrey sendiri kecewa dengan keputusan Anwar melantik Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

Thamrin dinamakan sebagai Pengerusi PKR negeri selepas sekumpulan ketua-ketua bahagian melahirkan rasa tidak percaya terhadap Naib Presiden PKR Azmin Ali menerajui PKR negeri.

Thamrin ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini enggan mengulas isu itu atas alasan ia merupakan urusan berkaitan peringkat pusat.

“Ini isu persekutuan dan biarkan mereka membuat pengumuman,” katanya.

Bagaimanapun Thamrin mengalu-alukan Jeffrey kembali memainkan peranan di peringkat pusat memandangkan beliau adalah salah seorang naib presiden.

“Beliau masih merupakan salah seorang anggota badan perhubungan negeri Sabah selaku ketua bahagian PKR,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: