Sempena Perayaan Deepavali yang bakal disambut masyarakat beragama Hindu di Malaysia pada 17 Oktober ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh yang menyambutnya. Pastinya rumah-rumah yang menyambutnya meriah dengan hiasan Rangoli yang berwarna warni serta hidangan makanan yang lazat menyambut kehadiran tetamu.
Jika dilihat dari kanta sejarah, perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Diwali atau Pesta Cahaya disambut dengan penuh kegembiraan sebagai tanda kemenangan menurut kepercayaan masyarakat Hindu. Watak-watak seperti Rama dan Ravana serta Ram, Sita dan Laxman yang membayangi latar sejarah di sebalik perayaan ini dapat dijadikan rujukan kepada soal universal yang berkaitan dengan manusiawi dan keadilan sejagat.
Kegembiraan pesta cahaya ini dipancarkan dengan tafsiran bahawa sinaran cahaya yang menerangi itu dijadikan sebagai simbol yang dapat memadamkan kegelapan yang mewakili kejahatan dan penindasan. Saya berharap agar melalui perayaan yang disambut ini, masyarakat India khususnya dapat menyemai nilai-nilai keadilan, toleransi dan menentang kezaliman serta penindasan dalam apa jua bentuk.