Sejak saya mula “blogging” dua bulan dahulu, komen yang paling banyak dan hangat saya terima ialah mengenai tulisan saya yang paling mutakhir sekali. Saya mengutarakan pendapat dalam tiga hal.
Pertama, mengenai arahan Exco Kerajaan Negeri Selangor Hassan Ali dari PAS mengenai usaha menangkap mereka yang minum arak dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan penjualan arak di Selangor itu sebagai satu tindakan yang tidak wajar.
Kedua, pendapat saya supaya Pemuda PAS tak perlu melarang atau mendesak pembatalan konsert Michael Learns To Rock di Genting.
Ketiga dan akhir sekali, mengenai hukuman rotan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno kerana minum beer. Saya tidak bercadang mengulangi pendirian saya yang ditulis sebelum ini selain dari menjawab beberapa komen yang pedas dan hangat tetapi sayangnya tidak berasas dan menyeleweng dari isu sebenar.