Kes DSAI pindah Mahkamah: Mahkamah Rayuan Beri Keputusan Esok
Posted by amkpermatangpauh on June 30, 2009
Putrajaya, 30 jun. Mahkamah Rayuan berkemungkinan memberikan keputusan esok bersabit permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan pemindahan perbicaraan kes liwat beliau dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Sesyen sebelum ini menolak permohonan Peguam Negara mahukan kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi, kerana Tan Sri Gani Patail diarahkan oleh Perdana Menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak campurtangan dalam kes berkenaan.
Keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi, memaksa Anwar untuk memohon kepada Mahkamah Rayuan supaya kes itu dibicarakan di Mahkamah Seksyen seperti lazimnya untuk perbicaraan seumpama itu.
Hakim Abdul Wahid Embong yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menetapkan esok untuk sambung bicara setelah mendengar hujah peguam Anwar dan pendakwaraya.
Peguam Anwar, Sankara Nair berkata Mahkamah Rayuan mungkin memberikan keputusannya esok. .
Jika Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 Julai untuk perbicaraan kes itu.
Mahkamah yang sama akan mendengar permohonan Anwar membatalkan pertuduhan itu. Permohonan itu dibuat setelah laporan Hospital Kuala Lumpur oleh tiga pakar perubatan mendapati tidak ada bukti klinikal untuk menyokong dakwaan pengadu Saiful Bukhari Azlan kononnya dia diliwat. Sebelum itu pemeriksaan doktor di Hospital Pusrawi ke atas Saiful turut membuat rumusan yang sama.
Esok, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan Anwar untuk mendapatkan bahan bukti yang enggan diserahkan oleh pendakwaraya bagi membolehkan mantan Timbalan Perdana Menteri itu menyediakan pembelaan terhadap pertuduhan itu.
Sumber : TVAntara.com
Leave a Reply