Anwar Ibrahim : Chin Peng Seharusnya Dibenarkan Pulang
Posted by amkpermatangpauh on June 13, 2009
BANGI, 13 Jun (Bernama) — Bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng seharusnya dibenarkan pulang ke tanah air untuk menghabiskan sisa hidupnya demi pertimbangan kemanusiaan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata ia adalah konsisten dengan dasar negara yang mengadakan perjanjian damai dengan PKM malah telah pun membawa beberapa bekas tokoh parti itu pulang ke tanah air sebelum ini.
“Kita sudah ada perjanjian damai, kita sudah bawa balik beberapa tokoh termasuk Musa (bekas Pengerusi PKM, Musa Ahmad), Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin dan beberapa yang lain, jadi bagi saya atas pertimbangan kemanusiaan konsisten dengan dasar kita, kita maafkan.
“Kita sudah benarkan dulu, jadi apa beza di antara Chin Peng dan Musa dari segi kepimpinan dalam parti, perjanjian damai kita lakukan bersama, saya tidak mahu melihat komunis Melayu tidak apa, tetapi komunis Cina tidak boleh, itu saya tidak boleh terima.
“Bahkan dalam kepimpinan MCA dulu bekas pemimpin PKM juga ada, di Sarawak juga kita boleh terima bukan setakat menjadi ahli jadi timbalan menteri pun ada.
“Jadi kita patut ambil sikap kemanusiaan, yang sudah itu sudah lah, kita mesti maju ke hadapan dan sejarah kita mesti kaji dengan objektif,” katanya pada sidang media pada Kongres Nasional Khas PKR 2009 di sini Sabtu.
Anwar berkata negara malah turut menjalinkan hubungan bukan sahaja dengan Kerajaan China malah dengan parti komunis negara itu.
“Pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk saya sendiri apabila berkunjung ke negara China menemui pemimpin-pemimpin negara itu dan juga pemimpin yang parti komunis yang terang-terangan menyokong PKM.
“Saya menyatakan prinsip bahawa PKM dan militan itu adalah tidak wajar tetapi kita sudah adakan perjanjian damai, jadi saya sebut perkara ini berulang kali supaya tidak digunakan seolah-olah saya tidak bersimpati dengan penderitaan rakyat dan perjuangan pasukan bersenjata,” katanya.
BERNAMA
Leave a Reply