Kempen P/Raya DUN Penanti Terkawal – SPR
Posted by amkpermatangpauh on May 30, 2009
BUTTERWORTH, 28 Mei (Bernama) — Kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti setakat ini berjalan lancar dan semua calon serta parti yang bertanding mematuhi peraturan pilihan raya, kata Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Mohd Faiz Syazwan Zainal Abidin.
Beliau berkata SPR hanya menerima laporan berhubung kesalahan menggantung poster dan bendera parti yang tidak bertanding pada pilihan raya itu.
“Sejak tempoh berkempen bermula Ahad lepas, kita hanya dapat laporan mengenai kesalahan menggantung bendera dan poster,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata SPR bertindak menurunkan 13 bendera DAP di kawasan Penanti kerana calon parti itu tidak bertanding pada pilihan raya itu.
“Setakat ini tiada tindakan diambil. Cuma kita turunkan bendera parti itu dan serahkan bendera itu kepada parti terbabit,” katanya.
Mohd Faiz berkata mana-mana parti tidak bertanding pada pilihan raya itu tidak dibenarkan memasang bendera dan poster parti mereka di kawasan itu.
Empat calon yang bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti pada 31 Mei ini ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 59; bekas ketua wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; Pengurus syarikat yang juga bekas ketua pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti di sini, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.
Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Mohammad Fairus Khairuddin.
BERNAMA
Leave a Reply